• Main
  • News

Ucapan Dan Memo Rasmi



UCAPAN DAN MEMO RASMI
GURU BESAR SK KERUBONG, MELAKA

PERKARA : KERANGKA RANCANGAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2026–2035
STATUS : SEGERA
TINDAKAN : Semua guru, AKP, PIBG dan ibubapa.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Salam Malaysia MADANI.

Yang dihormati para ibu bapa/penjaga serta seluruh warga SK Kerubong yang saya kasihi sekalian,
Dengan penuh rasa tanggungjawab dan komitmen terhadap amanah pendidikan, pihak sekolah menyambut baik pelaksanaan Kerangka Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 yang bakal menjadi hala tuju baharu sistem pendidikan negara bagi tempoh sepuluh tahun akan datang.

Kerangka ini memberi penekanan kepada pembangunan murid secara holistik, merangkumi aspek akademik, sahsiah, kemahiran abad ke-21, kepimpinan, nilai kemanusiaan serta kesejahteraan emosi. Ia juga selari dengan aspirasi untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak, berdaya saing serta mampu mendepani cabaran global dengan jati diri yang kukuh.

Sehubungan itu, pihak sekolah komited untuk:

1. Memperkasa kualiti PdPc berteraskan pembelajaran bermakna dan berimpak tinggi.

2. Membudayakan nilai adab, hormat dan integriti dalam setiap tindakan.

3. Mengukuhkan kolaborasi strategik antara sekolah dan ibu bapa sebagai rakan pendidikan.

4. Memastikan kebajikan dan kesejahteraan murid sentiasa menjadi keutamaan.

5. Melonjakkan kecemerlangan akademik dan kokurikulum secara seimbang.

Kejayaan pelaksanaan kerangka ini amat bergantung kepada sokongan padu semua pihak. Justeru, saya menyeru agar ibu bapa terus berganding bahu bersama pihak sekolah dalam memantau perkembangan anak-anak serta menyemai nilai murni di rumah yang selari dengan pendidikan di sekolah.

Marilah kita bersama-sama memperkukuh tekad dan iltizam demi masa depan anak-anak yang lebih gemilang.

Ayuh sama-sama menunaikan hasrat KPM dan melahirkan anak-anak SK Kerubong yang mempunyai 5 Ciri Sejahtera iaitu BERADAB, BERILMU, BERKEMAHIRAN, BERDAYA TAHAN DAN BERKEYAKINAN.

Akhir kata, saya yakin dengan semangat kebersamaan dan kesatuan hati, kita mampu merealisasikan aspirasi pendidikan negara.

“BERADAB MEMBINA INSAN, CEMERLANG MENCORAK MASA DEPAN”

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan amanah,
Puan Rahayu binti Mohd Thith,
Guru Besar
SK Kerubong
03 Mac 2026