Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Salam Malaysia MADANI.
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izin-Nya, kita diberi peluang menyambut kehadiran Tahun Baru 2026 dengan penuh harapan dan azam yang baharu.
Saya, bagi pihak pengurusan sekolah, ingin merakamkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh warga pendidik, kakitangan sokongan, murid-murid yang dikasihi serta ibu bapa dan penjaga SK Kerubong yang sentiasa menjadi rakan strategik dan tulang belakang kejayaan sekolah ini.
Tahun 2026 hadir sebagai lembaran baharu untuk kita terus memperkukuh usaha mendidik anak-anak dalam suasana pendidikan yang beradab, manusiawi dan berteraskan nilai murni, sejajar dengan aspirasi Transformasi Sekolah 2025 (TS25) dan hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia.
Berpegang pada tema dan slogan “Beradab Membina Insan, Cemerlang Mencorak Masa Depan”, kita beriltizam melahirkan murid yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki sahsiah terpuji, jati diri kukuh dan semangat MADANI yang tinggi.
Kepada para guru dan warga kerja sekolah, teruskan budaya kerja berpasukan, profesionalisme dan kasih sayang dalam mendidik. Sesungguhnya setiap usaha, pengorbanan dan keikhlasan tuan-tuan dan puan-puan adalah asas kepada kecemerlangan SK Kerubong.
Kepada ibu bapa dan penjaga, terima kasih atas kepercayaan, sokongan dan kerjasama yang tidak pernah putus. Hubungan erat antara sekolah dan ibu bapa adalah kunci kejayaan pembentukan anak-anak kita.
Akhir kata, marilah kita melangkah ke tahun 2026 dengan tekad yang jitu, hati yang bersih dan semangat yang bersatu, demi memastikan SK Kerubong terus melakar kecemerlangan dan menjadi wadah terbaik membina generasi masa depan negara.
Sekian, terima kasih.
Selamat Tahun Baharu 2026.
“Beradab Membina Insan, Cemerlang Mencorak Masa Depan”
SKK Hebat Hebat Hebat
Yang menjalankan amanah,
PUAN RAHAYU BINTI MOHD THITH
Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Kerubong, Melaka
01 JANUARI 2026